fbpx

7 Tips Untuk Masak Di Rumah Lebih Kerap

Seiring dengan peredaran masa, hidup kita kini makin sibuk dengan pelbagai kerja dan urusan hingga kita rasa sangat susah untuk masak di rumah.

In this article:

masak di rumah

Masak di rumah adalah sesuatu yang semakin kita abaikan. Namun begitu, ia merupakan sesuatu yang sangat penting dari segi kesihatan dan hubungan keluarga. Ikuti tips-tips ini untuk masak di rumah dengan lebih kerap! (Tips no. 4 paling penting ya!)

Makan masakan sendiri tidak lagi menjadi sesuatu yang biasa dan ia digantikan dengan makan atau membungkus makanan dari kedai makan atau pesan saja melalui aplikasi telefon.

Ketahuilah bahawa kajian menunjukkan makan masakan di rumah adalah lebih baik dari segi kualiti makanan dan penjagaan BMI badan. Ia juga pastinya lebih menjimatkan.

Oleh itu, saya kumpulkan tips-tips yang boleh kita gunakan bagi memberi motivasi kepada diri kita untuk masak dan makan di rumah dengan lebih kerap.

Ia juga merupakan langkah utama untuk kita makan dengan lebih sihat dan seterusnya mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Tips 1: Mulakan dengan resepi yang mudah untuk dimasak

Jika anda buat carian di internet, pasti anda akan jumpa banyak resepi-resepi yang sihat dan mudah disediakan.

Anda juga boleh cuba resepi yang bawah 15 minit dan tidak perlu banyak langkah seperti resepi panggang dalam oven atau one pot recipes.

Memulakan satu habit yang baru seharusnya dimulakan dengan perkara yang mudah dahulu, kemudian apabila ia sudah biasa, barulah kita tambah-baik amalan tersebut.

Jadinya, jika anda bukan seseorang yang biasa memasak (tak semua orang ada keyakinan di dapur ya) cari resepi-resepi mudah dahulu dan mula biasakannya.

Lihat resepi Chicken Manggo Salsa ini atau Roasted Vegetable ini. Ia sedap, sihat dan paling penting orang yang tak pandai masak pub boleh buat.

Kaum Adam pun tak perlu rasa kekok di dapur. Tetapi setahu saya ramai saja lelaki yang suka memasak ni, termasuklah saya.

Tips 2: Jangan bandingkan makanan dimasak dirumah dengan gambar makanan di media sosial.

Tips masak di rumah yang kedua adalah kita tak perlu jadi hebat macam chef untuk mula masak di rumah.

Kita juga tak perlu masak sesuatu dan perlu plating yang cantik-cantik macam anda lihat dalam media sosial.

Yang penting anda masak dari bahan yang segar dan ia menyihatkan. Itu sudah cukup.

Tak semua orang ada masa nak buat seni plating kan. Tak cantik tak semestinya tak sedap.

Sebagai contoh, kalau saya buat resepi Matcha Overnight Oats ni, plating saya tak lah perlu susun buah dan kekacang tu cantik-cantik.

Sebabnya saya nak makan cepat-cepat sebelum ke tempat kerja atau sebelum bersenam.

Tapi kalau anda memang ada masa, apa salahnya. Susun cantik-cantik dan upload di instagram. Ramai followers yang suka tengok gambar makanan ya.

masak di rumah

Tips 3: Belajar masak apa yang anda suka.

Jika anda ada beberapa menu yang anda suka makan yang hanya didapati dari kedai makan sebelum ini.

Salmon grill, ceaser salad atau chicken chop misalnya. Tak perlu tunggu nak ke resteron baru boleh nak makan.

Oleh itu, tips masak di rumah yang ketiga adalah kita boleh belajar untuk masak menu tersebut di rumah dan apabila teringin nak makan, anda boleh terus masak.

Tak perlu beli dari kedai. Yang penting adalah ia menggalakkan kita masak di rumah.

Biasanya apa yang kita masak lagi sedap rasanya, kan?

Resepi menu tersebut pun tidak lah susah. Sesiapa sahaja boleh sediakannya. Mungkin untuk jadi pakar kita kena cuba sekali-dua.

Yang penting cuba!

Tips 4: Masak untuk orang lain.

Bila kita masak untuk diri sendiri sahaja, biasanya kita akan masak biasa-biasa sahaja.

Tetapi apabila kita masak untuk orang lain, kita akan lebih bersemangat untuk pastikan ia sedap dan menyihatkan.

Cuba cari jalan untuk masak sekurang-kurangnya sekali sehari untuk pasangan dan anak-anak.

Paling penting, ini bukan tugas isteri dan ibu semata-mata ya. Suami dan anak perlu masak untuk ibu juga.

Kalau tidak, burnout lah isteri dan ibu-ibu kita nanti. Betul tak ibu?

(Tag pasangan anda untuk mereka baca juga panduan ni)

Tips 5: Belajar masak resepi turun-temurun.

Jangan jadikan resepi itu hilang ditelan zaman.

Kita perlu belajar resepi berharga di dalam ingatan ibu dan nenek kita dan teruskan resepi tersebut dalam keluarga kita pula.

Ia tidak perlu resepi yang susah pun. Sambal belacan atau nasi goreng ibu yang kita gemari tu harus diturunkan pada anak kita pula.

Jika tidak, hilanglah harta berharga itu dari keluarga kita.

Resepi keluarga ini adalah kegemaran kesemua ahli keluarga termasuklah diri kita sendiri.

Apabila kita pandai masak menu yang kita suka, pastinya kita rasakan ia mudah dan makin kerap kita akan masak di rumah.

mother and daughter preparing avocado toast
Photo by August de Richelieu on Pexels.com

Tips 6: Jadikan makan di rumah sebagai kebiasaan.

Sewaktu kita kecil dulu, makan di luar hanyalah untuk meraikan sesuatu yang istimewa.

Kebanyakan hari kita akan makan di rumah.

Namun hari ini, makan di luar itu adalah aktiviti harian dan ia tidak dapat menjamin nutrisi dan penjagaan kesihatan yang sebaiknya.

Ini kerana, bahan-bahan yang digunakan untuk makanan bukan dalam kawalan kita. Berapa banyak gula tambahan atau garam yang digunakan sebagai contoh.

Kalau makanan segera pula (baca: mekdi & kepci) kita tidak boleh nak kawal kandungan karbohidrat ringkas, lemak tepu, bahan pengawet dan sebagainya.

Oleh itu, jadikannya satu amalan yang berterusan. Jika kita tidak mencari inisiatif dan membuat keputusan aktif, kita akan dikuasai kemudahan makan makanan dari luar secara kerap.

Tips 7: Pastikan bahan masakan sentiasa ada.

Tidak kira bahan mentah, sayur atau rempah-ratus. Salah satu cara untuk memudahkan kita masak dan makan di rumah adalah bahan-bahan yang sedia-ada.

Antara cara terbaik untuk lakukan perkara ini adalah sediakan senarai bahan yang selalu anda gunakan dalam resepi-resepi yang biasa anda masak dan tambahkan apabila ia hampir habis.

Rempah-ratus atau bahan seasoning boleh tahan lama setiap kali kita beli.

Apabila kita sudah biasa dengan beberapa resepi, bahan rempah-nya juga adalah sama.

Tak adalah sampai setiap kali nak masak perlu ke pasaraya cari bahan.

Sediakan stok sayur dan buah juga adalah pilihan yang baik, jika tidak, kita akan tergolong dalam kalangan 94.9% rakyat Malaysia yang kurang makan sayur & buah.

Balik ke tips nombor satu – pilih resepi yang mudah-mudah sahaja. Makan bahan yang diperlukan juga adalah ringkas.

Kesimpulan.

Kita tak boleh terus ubah jadual hidup kita untuk masak dan makan di rumah setiap hari secara tiba-tiba.

Dalam apa-apa amalan yang kita mahu ubah, mulakan dengan sedikit-sedikit. Sebagai contoh, masak sarapan sahaja dahulu untuk 1 hari seminggu. Buat selama 14 hari dan tambah-baik daripada situ.

Masak di rumah tidaklah susah dan semua orang boleh lakukannya, namun kita perlu akui ia memerlukan sedikit usaha dan perancangan.

Dapatkan panduan perancangan, resepi dan meal plan resepi eat clean yang kami sediakan untuk bantu anda sekarang!

Ebook Resepi Eat Clean

Segalanya yang anda perlukan untuk makan dengan sihat.

Share this with your friends & family!

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Dr Kushairi Zuradi

Dr Kushairi Zuradi

Dr. Kushairi is a medical doctor working in Rehabilitation Medicine which deals with a wide range of diseases including post stroke and amputees. He started Sihatologi.com with the aim to educate as much people to live healthier, happier, better lives and prevent chronic diseases. He was once an obese guy but managed to control it. Loves his coffee black, no sugar and aim to run his first full marathon when the events start rolling again.

Contact Me
Select your currency
USD United States (US) dollar

TERUS KE INBOX ANDA!

Panduan pemakanan, kesihatan dan tawaran diskaun hebat.