Apakah proses penghadaman?
Penghadaman adalah satu proses pencernaan makanan yang kita makan. Ia melibatkan proses mekanikal seperti pergerakan usus dan proses kimia yang melibatkan enzim. Tujuan utama adalah untuk menghadam makanan supaya dijadikan sumber tenaga dan nutrisi untuk badan.
Badan kita memerlukan tenaga untuk digunakan dalam apa jua proses sistem badan seperti pernafasan, degupan jantung dan pencernaan yang boleh dirujuk kepada Basal Metabolic Rate (BMR).
Begitu juga untuk pergerakan, berjalan dan juga bersenam yang boleh dirujuk kepada Total Daily Energy Expenditure (TDEE).
Saya sudah terangkan dengan lebih mendalam tentang BMR dan TDEE ini semasa menerangkan topik kalori. Anda boleh fahami lebih lanjut serta mengira TDEE anda dalam panduan lengkap memahami kalori ini.
Bagaimana badan mendapatkan tenaga?
Tenaga ini diperolehi melalui makanan yang kita makan kemudian
dihadamkan dan ditukar komposisi kimianya supaya ia boleh digunakan oleh sel-sel di setiap ceruk badan kita sebagai satu bentuk sumber tenaga.
Jika anda mahu fahami proses penghadaman badan kita dengan mudah, bayangkan badan kita ini adalah seperti sebuah kilang kimia.
Kita mengambil dan memproses bahan kimia dengan pelbagai jenis reaksi dalam badan. Kemudian menggunakannya sebagai tenaga dan dihantar ke seluruh pelusuk badan atau ditukar kepada bentuk bahan kimia lain untuk kegunaan di kemudian hari.
Bahan kimia yang kita gunakan dalam badan kita ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu makronutrien dan mikronutrien.
Makronutrien mempunyai tiga komponen utama iaitu karbohidrat,
protein dan lemak.
Mikronutrien pula adalah seperti vitamin dan zat besi.

Contoh penghadaman karbohidrat
Kita ambil penghadaman karbohidrat sebagai contoh. Karbohidrat terdiri daripada karbohidrat ringkas dan kompleks. Kedua-dua jenis ini berikan kesan yang berbeza dalam badan.
Anda boleh baca dengan lebih lanjut dalam panduan pemilihan karbohidrat yang saya telah sediakan untuk fahami perbezaan dan contoh makanan. Tetapi dalam penerangan ini, kita ambil contoh yang umum ya.
Bayangkan,anda berasa lapar maka anda pun mengambil sepinggan nasi goreng yang mengiurkan.
Apabila anda mengambil sesuap nasi, kunyahan anda akan membantu mengecilkan dan melumatkan struktur nasi tersebut.
Kelanjar parotid anda pula akan mengeluarkan air liur yang mengandungi enzim amylase.
Enzim ini, anda bayangkan seperti penukul yang memecahkan struktur rantaian karbohidrat yang panjang menjadi lebih pendek kepada struktur dekstrin atau maltos.
Pencernaan disambung apabila gumpalan makanan tiba di usus kecil di mana pankreas menghasilkan enzim amylase yang menyambung cernaan ke rantaian yang lebih pendek hinggalah menjadi unit rantaian berdua yang dipanggil disaccharides, kemudian dicerna lagi hingga menjadi satu unit gula atau saccharide.
Saccharide kemudiannya diserap melalui jejari villi di usus untuk dihantar ke seluruh sel badan supaya digunakan sebagai sumber tenaga.
Bagaimana pula dengan penghadaman protein dan lemak?
Bagi makronutrien lain seperti protein dan lemak juga sama seperti karbohidrat cuma peringkat pencernaan dan enzim-nya saja yang berbeza.
Makanan berasaskan protein yang dimakan akan dikunyah di dalam mulut kemudian dibantu oleh pencernaan mekanikal dan kimia di dalam perut oleh asid hidroklorik dan enzim pepsin.
Ia kemudian terus dicerna kepada asid amino bermula di duodenum (permulaan usus kecil) oleh enzim trypsin dan chemotrypsin yang dirembes oleh pankreas.
Lemak juga dicerna seperti protein dan dibantu dengan campuran bersama hempedu dan enzim lipase yang menghasilkan asid lemak.
Ini semua hanyalah penerangan ringkas sahaja, kerana banyak lagi enzim dan proses yang terlibat dalam pencernaan makanan yangkita makan.
Glukosa, asid amino dan asid lemak yang telah dicerna kemudiannya diserap di dalam usus kecil.
Usus: Organ penting penghadaman
Usus kecil kita ini jika dilihat dengan mata kasar, ia hanyalah satu ruang kosong seperti paip hos yang lembut dan berlipat-lepat.
Tetapi jika diteliti, ia sebenarnya mengandungi jejari-jejari halus yang dinamakan villi. Jejari-jejari halus ini pula diliputi jejari-jejari
lagi yang dipanggil villi-mikro.
Semua ini diciptakan oleh Tuhan supaya usus kita ini mempunyai kawasan permukaan yang luas bagi menjamin serapan nutrisi yang optimum.
Jika dilihat pada panjang usus kecil kita ini, ia berlipat-lipat di dalam perut sepanjang hampir 7 meter. Apabila dicampur dengan villi dan mikro-villi kawasan permukaan untuk serapan adalah hampir seluas sebuah gelanggang tenis bersamaan 250 meter persegi!

Kesimpulannya
Proses penghadaman makanan adalah satu proses yang sangat teliti. Tujuan utama penghadaman juga adalah untuk menggunakan apa yang kita beri badan kita makan bagi tujuan penyelenggaraan badan.
Ia adalah sangat penting supaya badan mendapatkan semua nutrisi utama bagi meneruskan proses-proses penting dalam badan. Jika ia terganggu, badan akan mula jatuh sakit.
Maka, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan sumber makanan yang kita makan adalah berkualiti dan memberikan kebaikan, bukan keburukan.
Kita dapat lakukannya dengan sentiasa amalkan pelan pemakanan yang sihat ditambah dengan amalan gaya hidup sihat yang lain.
Muat turun buku panduan ini dengan PERCUMA!
Artikel ini merupakan salah satu kandungan yang terdapat dalam buku Masa Untuk Makan: panduan lengkap intermittent fasting yang telah saya sediakan secara percuma untuk anda.
Saya berikannya percuma. Muat turun segera sebelum saya letakkan harga ya!
-
Sale Product on saleMasa Untuk Makan: Panduan Intermittent Fasting
$25.00$0.00Rated 4.76 out of 5 based on 17 customer ratings