Mari kita menelusuri mengapa adanya individu yang sebenarnya kurang berilmu atau berkemahiran dalam sesuatu perkara, tetapi berbicara dan beraksi dengan sombong seolah-olah merekalah pakar tentang pekara tesebut.
Mereka ini juga pantang ditegur dan sangat yakin dengan apa yang mereka pegang. Seperti satu delusi yang dikaburi ego dan narsis; apa yang mereka kata atau buat itu betul dan semua orang lain adalah salah.
Macam biasa dengar dan lihat?
Contoh jelas; bila ada isu viral di facebook, ramai benar ‘pakar’ isu tersebut.
Kisah orang bodoh sombong merompak bank
Pada tahun 1995, McArthur Wheeler masuk ke dua buah bank di Pittsburgh tanpa memakai sebarang topeng atau samaran, katanya siap senyum pada kamera sekuriti.
Malam itu juga beliau ditahan dirumahnya. Wheeler pula sangat terkejut! Dia tak percaya yang dia boleh ditangkap dengan begitu mudah.
“But I wore the juice” – kata Wheeler.
Malang bagi Wheeler, dia di bawah impresi bahawa dengan menyapu jus lemon pada muka, dia tidak akan dapat dilihat dalam kamera sekuriti.
Entah mana dia dapat ilmu tersebut (ilmu yang salah dan menyebabkan dia tidak kompeten untuk merompak bank), namun dia sangat yakin dengan fakta tersebut, dan tidak berupaya menyedari kesalahannya.
Maka, tertangkaplah dia.
‘Bodoh sombong’; jadi inspirasi untuk kajian
Peristiwa ini memberi inspirasi kepada dua pakar psikologi; Justin Kruger dan David Dunning untuk melakukan beberapa kajian bagi membuktikan beberapa ramalan;
i) Individu yang tidak kompeten mempunyai anggaran berlebihan tentang kebolehan dan prestasi diri.
ii) Mereka juga tidak boleh menghargai kebolehan, keilmuan dan prestasi orang lain yang lebih baik
iii) Mereka tidak menyedari akan kurangnya kompetensi diri walaupun apabila sudah memerhati atau membandingkan diri dengan orang yang lebih kompeten.
Mereka melakukan beberapa siri kajian mengenai tahap kelakar (humour), tatabahasa (grammar) dan logik.
Pemerhatian menunjukkan mereka yang tergolong dalam kategori yang mempunyai markah yang paling rendah (12th centile), apabila ditanya tentang keupayaan mereka menjawab soalan, mereka meramal markah mereka adalah lebih dari purata (62nd centile).
Ini menunjukkan bahawa individu yang sebenarnya tidak kompeten menyangka mereka mempunyai kebolehan yang lebih daripada purata.
Indikator tahap kelakar
Sebagai contoh, dalam siri ujian pertama yang bertemakan keupayaan individu mengenal-pasti lawak yang dianggap kelakar bagi orang lain.
65 orang pelajar Universiti Cornell diminta untuk mengkategorikan 30 kenyataan pada skala 1-11 mengingikut nilai yang mereka anggap kelakar bagi orang lain.
Jawapan mereka kemudiannya dibandingkan dengan skema jawapan yang didapatkan daripada ahli komedi.
Keputusan yang dapat dilihat adalah kumpulan tercorot dengan markah yang paling rendah meramal mereka mendapat markah yang lebih daripada purata.
Markah mereka adalah pada kumpulan 10th centile tetapi meramal markah mereka pada 60th centile.
Indikator tatabahasa
kelompok yang mendapat markah yang tinggi dilihat cenderung untuk meramal markah mereka lebih rendah
Siri ujian ini kemudian diulangi dengan mengambil peserta dan menguji mereka dalam ujian logik dan tatabahasa.
Seperti yang diramalkan para pengkaji, keputusan seperti siri ujian pertama juga berlaku dalam ujian-ujian seterusnya.
Kumpulan yang mendapat markah yang tercorot meramal dan menyangka markah mereka adalah lebih daripada purata dalam kesemua ujian tersebut.
Ia memberi satu kesimpulan bahawa individu yang tidak berkemahiran, mempunyai satu keyakinan diri yang mereka adalah bagus dan gagal melihat kekurangan yang ada pada diri mereka.
Sesuatu yang menarik dalam siri ujian ini adalah, kelompok yang mendapat markah yang tinggi dilihat cenderung untuk meramal markah mereka lebih rendah daripada markah sebenar yang mereka dapat.
Para pengkaji meletakkan kemungkinan bahawa mereka yang lebih berilmu dan kompeten selalunya menyangka jika mereka boleh melakukan sesuatu dengan baik maka orang lain pun boleh melakukannya dengan baik.
Mereka juga lebih berupaya mengenal pasti kelemahan dan kekurangan yang mereka mungkin ada.
Penambahan fasa
Dalam pemerhatian Dunning-Kruger ini terdapat juga beberapa penambahan fasa.
Semasa ujian logik, mereka melakukan fasa kedua untuk ujian tersebut bagi melihat samada peserta yang mendapat markah rendah, apabila didedahkan dengan ujian orang lain yang lebih baik, dapat sedar akan kekurangan diri mereka.
Ternyata keputusan yang mereka dapat adalah kelompok markah rendah ini walaupun diberikan perbandingan, masih lagi meramalkan kebolehan mereka pada tahap lebih baik daripada purata.
Ini menunjukkan mereka masih tidak sedar akan kekurangan mereka walaupun dihadapkan dengan contoh yang lebih baik.
Jika belajar, kuranglah sombong dan kebodohan
Pada siri ujian ke-empat dalam pemerhatian Dunning-Kruger pula, mereka melihat individu yang mendapat markah rendah dalam ujian logik, jika dilatih dan melalui fasa latihan, mula menyedari kebolehan atau kekurangan mereka yang sebenar dan berupaya meramal kebolehan diri dengan lebih baik.
Ini bermaksud, semakin kita belajar, semakin kita mula memahami tentang sesuatu perkara dan ia akan membuatkan kita lebih menghargai limitasi dan keupayaan sebenar diri.
Siapa sebenarnya yang terdedah pada fenomena ‘bodoh sombong’ Dunning-Kruger ini?
Secara asasnya, semua orang.
Apa yang penting adalah setiap kali kita berhadapan dengan ilmu atau kemahiran baru, sentiasa rendahkan ego dan belajar dengan individu yang lebih berilmu.
Keyakinan itu penting tapi jangan sampai menjuarai ‘mount of stupid’.
Sentiasa dapatkan respon orang lain tentang keupayaan semasa dan ambil kritikan secara positif dan membina.
Kenal-pasti keupayaan diri dan bina kemahiran sedikit demi sedikit. Ikut resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk.
Maka sekarang kita sudah tahu, mengapa individu-individu di dunia maya atau realiti; berpegang atau menyebarkan sesuatu yang mereka tak miliki autoriti kemahiran atau ilmu dan tidak sedar dan berdilusi yang merekalah pakar dalam perkara tersebut.
Mereka tidak menerima autoriti orang lain yang lebih mengetahui, dan terus tidak sedar akan kekurangan apabila dibandingkan atau dikritik.
Semoga kita terus belajar supaya tidak kekal di ‘mount of stupidity’.

Dalam kita mengamalkan gaya hidup sihat, pemakanan sihat dan menguruskan badan juga perlu proses pembelajaran dahulu.
Jangan hanya kerana membaca satu post di media sosial terus rasakan kita pakar dalam kesihatan.
Rujukan: Kruger, Justin & Dunning, David. (2000). Unskilled and Unaware of It: How Difficulties in Recognizing One’s Own Incompetence Lead to Inflated Self-Assessments. Journal of Personality and Social Psychology. 77. 1121-34. 10.1037//0022-3514.77.6.1121.