fbpx

Penyakit: Berjangkit vs. Tidak Berjangkit – Maksud & Contoh

Dalam artikel ini akan dihuraikan dengan ringkas dan jelas apakah maksud penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit untuk kefahaman anda.

In this article:

penyakit berjangkit

Apakah maksud Penyakit Berjangkit?

Penyakit berjangkit ini adalah istilah umum yang merujuk kepada penyakit yang disebabkan oleh mikro-organisma yang disebarkan dari manusia ke manusia (dari kahak, STD, hepatitis), atau daripada gigitan serangga (vektor) seperti nyamuk (denggi), atau melalui air dan makanan yang tercemar. (WHO)

Mikro-organisma

Mikro-organisma pula adalah hidupan yang kecil (mikro) yang memerlukan bantuan visual mikroskop.

virus covid19
Ilustrasi virus SARS-COV-2 yang menyebabkan penyakit COVID-19 – Photo by Fusion Medical Animation on Unsplash

Mereka terdiri daripada Bakteria, Archea, Protozoa, Algae, fungi, virus dan sel multi-selular.

Hidupan mikro-organisma ini sudah lama wujud di muka bumi dan interaksi antara manusia dan mikro-organisma telah berlaku sejak sekian lama.

Fakta menarik – virus sebenarnya tidak dikira organisma hidup kerana ia sebenarnya adalah kod DNA/RNA yang menjangkiti sel perumah.

Setiap permukaan badan kita atau di dalam rongga dan usus kita adanya hidupan mikro-organisma ini dan ia adalah satu hubungan simbiosis. Mereka memerlukan kita sebagai perumah dan kita juga mendapat manfaat daripada mereka.

Sebagai contoh, terdapat hampir 1000 jenis bakteria dalam usus kita, terkejut? (hampir 1-2KG jika ditimbang) dan setiap jenis memberi kesan berlainan kepada kita.

Ada jenis yang memberi kebaikan manakala ada jenis yang jika ia membiak boleh mengakibatkan penyakit.

Jenis mikroorganisma

Ada jenis bakteria yang membantu pencernaan serat daripada sayuran dan buah-buahan. Ini menghasilkan nutrisi berguna seperti short chain fatty acids yang membantu mengurangkan risiko penyakit kronik.

Tetapi ada juga jenis mikro-organisma yang jika menjangkiti badan boleh menyebabkan penyakit. Contohnya bakteria mycobacterium yang menyebabkan tuberculosis, salmonella atau e. coli yang boleh menyebabkan gejala keracunan makanan.

Parasit seperti cacing usus (tapeworm), ataupun jangkitan virus yang boleh menyebabkan hepatitis B, HIV, ataupun COVID-19 ini.

Bagaimana mikroorganisma seperti COVID-19 menjangkiti manusia

Sebagai contoh jangkitan virus COVID-19 ini berlaku apabila virus ini memasuki saluran pernafasan kita. Kajian menunjukkan permukaan sel virus ini akan berinteraksi dengan reseptor sel ACE2 di paru-paru. Ini menyebabkan kod RNA virus tersebut masuk ke dalam sel paru-paru.

Secara ringkasnya ia menggunakan sel kita sendiri untuk menghasilkan lebih banyak virus dalam paru-paru. Situasi ini berulang-ulang ‘viral’ dan menyebabkan kesan pada paru-paru (ARDS) dan kesan sistemik pertahanan badan (cytokine storm).  (1)(4)

Setiap mikro-organisma mempunyai proses jangkitan tersendiri. Kesan dan reaksi badan kita juga berbeza mengikut tempat kita dijangkiti dan tahap keterukan jangkitan tersebut.

Sebagai contoh, mycobacterium jika menjangkiti paru-paru akan menyebabkan TB pulmonary dan ia juga boleh menjadi extra-pulmonary TB seperti di usus ataupun kulit.

Reaksi badan pada jangkitan

Reaksi badan kita kepada jangkitan juga sebenarnya merupakan antara mekanisma pertahanan badan dalam menangani dan melawan jangkitan kuman. Namun, adakalanya ia juga boleh menjadi faktor kepada proses jangkitan dan kadangkala menyebabkan kematian.

Sebagai contoh, reaksi badan kita untuk demam dengan menaikkan suhu badan adalah sebenarnya kesan daripada hasil reaksi sistem pertahanan badan dalam melawan bakteria atau virus. Ia ada juga kajian menunjukkan ia membantu sel pertahanan badan untuk berfungsi.

Batuk dan selsema juga adalah reaksi badan untuk mengeluarkan bakteria atau virus dari rongga hidung dan pernafasan yang menghasilkan kahak dan hingus.

Namun hasil kahak dan hingus ini juga boleh menjadi punca sesuatu mikro-organisma itu berjangkit dari seseorang ke seseorang. Ini dapat dilihat dalam penyakit jangkitan paru-paru (pneumonia) yang berpunca daripada bakteria dan virus.

Ini termasuklah penyakit COVID-19 ini yang menunjukkan transmisi adalah daripada kahak atau semburan air liur akibat bersin (1)(4).

penyakit berjangkit
Photo by @unitednations at Unsplash

Reaksi badan pada jangkitan

Jadi, disinilah kefahaman akan reaksi badan kita ini penting dan kenapa KKM berulang-ulang kali berpesan supaya jika anda mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19 dan kemudian mempunyai gejala demam dan batuk dan sesak nafas – reaksi badan.

Segera dapatkan rawatan. KKM juga pesan untuk duduk diam di rumah kerana COVID-19 ini disebarkan melalui kontak dengan semburan (droplets) daripada batuk atau bersin individu yang dijangkiti COVID-19 ini.

Jadi apabila kita tidak berinteraksi dengan orang lain (objektif PKP) maka rantaian jangkitan ini pun dapat dihentikan.

Dan kalau terpaksa keluar, pastikan jarak dengan orang lain sekurang-kurangnya 1 meter dan basuh tangan. Ini adalah untuk pastikan jika ada virus tersebut di permukaan tangan, kita tidak akan menyentuh muka dan menyebarkan virus tersebut ke orang dan permukaan lain.

Apakah maksud penyakit tidak berjangkit (non-communicable disease)?

Penyakit tidak berjangkit ini adalah seperti penyakit kronik yang tidak boleh disebarkan daripada individu ke individu lain yang perkembang secara perlahan-lahan dan selalunya berlaku sepanjang hayat.

Contoh penyakit kronik ini adalah seperti  darah tinggi, kencing manis, serangan jantung, strok, kanser dan juga COAD (komplikasi merokok).  

Mengikut data Tinjauan Morbiditi Kebangsaan 2019 menunjukkan hampir 30% rakyat Malaysia menghidapi tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan 18% menghidapi kencing manis.

Penyakit-penyakit ini adalah risiko kepada serangan jantung dan strok.

Risiko dan punca penyakit tidak berjangkit

Penyakit-penyakit ini selalunya mempunyai dua jenis risiko iaitu risiko boleh ubah dan risiko tidak boleh ubah. Contohnya risiko tidak boleh ubah bagi penyakit strok adalah umur dan jantina di mana umur lebih 55 tahun dan lelaki lebih berisiko untuk mendapat strok.

Risiko boleh ubah pula adalah seperti  mengelak dan mengawal darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi, berhenti merokok, dan mengubah gaya hidup menjadi lebih sihat dilihat boleh membantu dalam mengurangkan risiko strok dan juga serangan jantung.

Harus difahami, kadang-kala darah tinggi dan kencing manis tidak menampakkan gejala yang jelas dan ini menyebabkan kita tidak sedar dan tidak mahu mengambil langkah proaktif dalam mengawalnya.

Namun jika dibiarkan berpanjangan tanpa mengubah gaya hidup dan rawatan ubat apabila perlu, kesan sampingan atau komplikasi penyakit ini boleh menyebabkan kecacatan sementara dan juga kekal.

Sebagai contoh, tidak mengawal paras gula selama bertahun-tahun akan menyebabkan masalah diabetic retinopathy (kabur mata akibat kesan kencing manis pada salur darah mata) diabetic nephropathy (masalah buah pinggang akibat kencing manis kronik) diabetic foot ulcer (DFU) yang boleh menyebabkan amputasi atau kudung.

Ia juga membawa kepada peningkatan risiko strok yang menyebabkan kecacatan dari pelbagai aspek dan serangan jantung yang boleh membawa maut.

Jaga kesihatan diri

Penyakit kronik ini adalaah rentetan dan kesan daripada apa yang kita lakukan pada badan kita. Ia tidak seperti penyakit berjangkit yang berlaku akibat jangkitan mikro-organisma dari orang lain.

Ia adalah refleksi cara kita menjaga badan kita secara amnya.

Maka adalah sangat penting bagi orang muda untuk mengelakkan risiko menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis dengan mengambil pemakanan yang sihat dan melakukan aktiviti fizikal.

Bagi yang telah menghidapinya, sangat penting untuk ubah gaya hidup dan mendapatkan rawatan lanjut dan secara berkala dan ikuti nasihat jika diminta mengambil ubat untuk mengawal penyakit tersebut.

Ia adalah untuk kebaikan anda juga.

Wujudkah kaitan antara penyakit berjangkit dan tidak berjangkit?

Setelah memahami beza dua jenis penyakit di atas, persoalan sekarang ini adakah ia memberi kesan antara satu sama lain.

Kajian ada menunjukkan bahawa jika seseorang itu mempunyai penyakit kronik, ia boleh menyebabkan kesan sampingan atau komplikasi sesuatu penyakit berjangkit menjadi lebih teruk.

Antara contoh adalah kajian menunjukkan pesakit HIV menunjukkan kadar keradangan yang tinggi akibat aktivasi sistem pertahanan badan yang membawa kepada komplokasi seperti pembentukan plak pada salur darah (artherosclerosis). Ini menjadi risiko strok dan serangan jantung. Kencing Manis juga dilihat meningkatkan risiko jangkitan TB sebanyak dua hingga tiga kali ganda.  (2)

Sebarang jangkitan juga seperti jangkitan TB akan mengakibatkan reaksi badan yang menyebabkan paras gula dalam darah meningkat dan menyukarkan rawatan kencing manis. (2)

Bagaimana pula dengan kaitan penyakit kronik dan COVID-19?

Dalam kajian pemerhatian setakat ini, individu yang menghidapi penyakit kronik dan berumur lebih berisiko mendapat komplikasi yang teruk dan menyebabkan kematian.

Ini dilihat dalam satu siri kajian di China melibatkan 44 000 pesakit COVID-19 menunjukkan umur tua, penyakit jantung, diabetes, kanser, COAD adalah dikaitkan dengan risiko kematian yang lebih tinggi. (3)

Kajian juga menunjukkan merokok dan obesiti meningkatkan risiko komplikasi. Dan keputusan ini dapat dilihat dalam beberapa lagi kajian dan siri pemerhatian.

Pelbagai teori wujud dalam menerangkan mengapa hal ini berlaku tetapi kajian lebih lanjut perlu dijalankan untuk betul-betul mengenal pasti punca kaitannya.

penyakit berjangkit
Photo by @unitednations at Unsplash

Kesimpulan

Tujuan kita untuk patuh pada tempoh PKP ini adalah bagi menghentikan rantaian jangkitan yang kita faham melalui reaksi badan kita pada virus tersebut – batuk dan bersin yang menghasilkan kahak dan semburan air liur – yang boleh menjangkiti orang sekitar.

Penting juga untuk kita menjaga ketenangan mental dalam tempoh PKP ini kerana berita-berita palsu dan kenyataan panic boleh menyebabkan perasaan cemas (anxiety) dan depressi.

Maka penting untuk kita berkomunikasi dengan keluarga dan pasangan, call dan video call sahabat dan keluarga, dan jika mempunyai gejala anxiety dan depresi, dapatkan rawatan atau hubungi talian-talian khas yang tersedia.

Bersama menjaga komuniti supaya tidak berkumpul kerana apa jua sebab dan elakkan jangkitan sesama ahli komuniti hingga menjadi hotspot jangkitan. Ini dapat dilihat di beberapa kawasan yang perlu PKPD seperti di Simpang Renggam dan Hulu Langat.

COVID-19 menunjukkan kesan sampingan yang teruk pada golongan yang berumur dan mempunyai penyakit kronik. Adalah penting untuk golongan ini elak daripada berjumpa dengan individu yang berisiko memberikan jangkitan ataupun elak keluar ke tempat awam selama tempoh PKP.

Ia juga memberikan satu lagi sebab dan peringatan bagi semua individu mengelakkan penyakit kronik dengan mengelakkan kegemukan dan mengamalkan pemakanan yang sihat demi kesihatan yang baik sepanjang hayat.

Apabila PKP tamat, seharusnya semua panduan dan penjagaan kebersihan dan penjarakan sosial diteruskan bagi membendung kadar jangkitan daripada naik semula.

Rujukan:

1.Mil Med Res. 2020; 7: 11. Published online 2020 Mar 13. doi: 10.1186/s40779-020-00240-0. The origin, transmission and clinical therapies on coronavirus disease 2019 (COVID-19) outbreak – an update on the status.
2. Public Health Action. 2015 Sep 21; 5(3): 156–157. Published online 2015 Sep 21. doi: 10.5588/pha.15.0030. Communicable and non-communicable diseases: connections, synergies and benefits of integrating care.
3. BMJ 2020;368:m1198 doi: 10.1136/bmj.m1198 (Published 26 March 2020). Covid-19: risk factors for severe disease and death.
4. Cascella M, Rajnik M, Cuomo A, et al. Features, Evaluation and Treatment Coronavirus (COVID-19) [Updated 2020 Mar 20]

Share this with your friends & family!

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Dr Kushairi Zuradi

Dr Kushairi Zuradi

Dr. Kushairi is a medical doctor working in Rehabilitation Medicine which deals with a wide range of diseases including post stroke and amputees. He started Sihatologi.com with the aim to educate as much people to live healthier, happier, better lives and prevent chronic diseases. He was once an obese guy but managed to control it. Loves his coffee black, no sugar and aim to run his first full marathon when the events start rolling again.

Contact Me
Select your currency
USD United States (US) dollar

TERUS KE INBOX ANDA!

Panduan pemakanan, kesihatan dan tawaran diskaun hebat.