Salah siapa jika kita jatuh sakit?
Itu persoalan yang bermain di fikiran saya sebelum ini tapi tak saya selami sepenuhnya hinggalah saya melihat dua pesakit saya di wad perubatan hari ini. Adakah mungkin ia kerana gagal menjaga kesihatan diri?
Jatuh sakit yang saya maksudkan juga bukanlah akibat kemalangan yang kadang-kala di luar kawalan kita. Ia juga bukan penyakit berjangkit seperti jangkitan virus dan bakteria yang juga tidak dapat kita bendung sepenuhnya.
Sakit yang saya maksudkan di sini adalah komplikasi-komplikasi akibat penyakit tidak berjangkit yang kronik seperti diabetes, darah tinggi, obesiti dan sindrom metabolik yang mengakibatkan penyakit jantung, strok, dan kegagalan buah pinggang.
Kisah pesakit
Salah siapa sebenarnya apabila seorang ketua keluarga berumur 55 tahun – yang merokok hampir 20 batang sehari selama berpuluh-puluh tahun.
Dia sendiri yang tidak menghiraukan kesan pemakanan harian yang tidak sihat pada badan selama berpuluh tahun.
Dia tahu tekanan darah tidak di paras normal beberapa tahun dahulu, apabila diperiksa di klinik dan dinasihatkan makan ubat dan datang temujanji berkala.
Kemudian makan ubat buat sementara waktu dan kemudian beralih pada air rebusan akar kayu dan herba yang tidak diketahui jenis, dos, dan kesan sampingannya.
Langsung tidak hadir untuk pemeriksaan berkala, dan pernah ada sejarah sakit dada yang disahkan serangan jantung beberapa bulan lalu – secara tiba-tiba separa sedar.
Tidak boleh bercakap dan lemah sebelah bahagian badan.
CT scan menunjukkan pendarahan di bahagian kiri otak.

Nasib keluarga
Salah siapa sekarang ini apabila isteri yang selama ini membantu keluarga mencari nafkah dengan bekerja di kedai makan perlu berhenti kerja dan menjadi penjaga sepenuh masa.
Salah siapa sekarang ini apabila ketua keluarga tadi tidak mampu makan sendiri, bergerak sendiri di atas katil apatah lagi duduk tanpa bantuan, tidak dapat urus kencing dan berak sendiri.
Kalau urus diri pun tak mampu, apatah lagi mencari nafkah untuk keluarga, mendidik isteri dan anak, menyumbang pada agama dan bangsa. Salah siapa?
Salah siapa?
Adakah ia salah isteri kerana tidak menjaga makan dan menyuruh dia menjaga kesihatan?
Atau adakah salah kerajaan kerana dia tidak ketahui risiko merokok dan tekanan darah tinggi dan gaya hidup tidak sihat boleh membawa kepada sakit jantung dan strok?
Adakah ia salah masyarakat kerana masing-masing tidak menjaga kesihatan masyarakat setempat?
Atau ia adalah salah para doktor dan staf kesihatan kerana tidak merawat dia dengan baik dan beri pendidikan sebaiknya?
Salah siapa? Sama sekali bukan salah sesiapa pun – tetapi secara peribadi, jika saya sendiri tidak menjaga setiap aspek kesihatan badan dan akhirnya menerima padah akibat perilaku tersebut.
Tak perlu salahkan sesiapa melainkan diri sendiri.
Kisah pesakit seperti di atas bukanlah sesuatu yang jarang-jarang berlaku tetapi ia meningkat dari tahun ke tahun.
Dan rangka ceritanya adalah lebih kurang sama, yang berbeza adalah jenis komplikasi dan kesannya pada diri pesakit dan keluarga.
Keadaan kesihatan diri di Malaysia

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, punca kematian tertinggi bagi rakyat Malaysia pada tahun 2018 merupakan;
- Serangan jantung (IHD) 15.6%
- Jangkitan kuma paru-paru 11.8%
- Strok 7.8%
- Kemalangan 3.7%
- Penyakit paru-paru kronik 2.6%
Kita dapat lihat penyakit jantung (IHD) dan strok yang mengungguli punca kematian tertinggi sebenarnya merupakan antara komplikasi akibat penyakit kronik yang tidak terkawal.
Statistik ini juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia adalah berkemungkinan besar (sebanyak hampir 15% dan 7%) untuk mati akibat komplikasi penyakit kronik.
Statistik ini masih belum mengira kematian akibat pneumonia (jangkitan kuman di paru-paru) yang berlatar-belakangkan penyakit kronik.
Begitu juga pesakit yang mati akibat kegagalan fungsi buah pinggang, jangkitan kuman pada kaki akibat kencing manis tidak terkawal.
Pandemik COVID-19 juga dilihat menunjukkan risiko kematian yang tinggi untuk pesakit yang berumur lebih 50 tahun dan mempunyai latar-belakang penyakit kronik.
Kesedaran yang rendah.
Adakah mungkin keadaan ini berlaku akibat kesedaran dan kefahaman yang rendah?
NHMS 2019 menunjukkan kadar literasi kesihatan bagi 35% rakyat Malaysia adalah rendah.
Laporan tersebut juga menunjukkan 8.9% dewasa tidak tahu mereka menghidapi kencing manis manakala 14.1% dewasa tidak tahu mereka menghidapi darah tinggi.
Dalam satu kajian cross sectional yang melibatkan 132 individu bagi melihat tahap pengetahuan pemakanan dan kesedaran pesakit kencing manis.
Para pengkaji mendapati tahap kesedaran pesakit adalah kurang memuaskan dan ia berkait-rapat dengan status sosio-ekonomi yang rendah.
Para pengkaji juga berpendapat terdapat keperluan untuk meningkatkan aktiviti pendidikan pemakanan bagi meningkatkan kawalan gula dan kualiti hidup pesakit kencing manis.
Masih tidak cukupkah usaha pendidikan awam?
Jika kita melihat daripada sisi kesihatan awam, tidak kira pihak mana pun yang memegang amanah mentadbir rakyat, pelbagai kempen kesihatan telah pun dijalankan.
Bermula dari pentadbiran atasan kementerian hinggalah implimentasi polisi ke klinik kesihatan komuniti dan kampung-kampung.
Kempen berhenti merokok yang dilaksanakan sekian lama hinggakan perokok pun sudah lali dengan amaran kesihatan pada kotak rokok mereka.
Pelaksanaan undang-undang bagi mengharamkan aktiviti merokok di tempat awam juga telah dilaksanakan.
Inisiatif kesihatan seperti Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) yang juga merangkumi aplikasi digital dan penglibatan pelbagai kementerian lain juga sudah dilaksanakan.
Diteruskan lagi dengan inisiatif Kampungku Sihat. Semua ini bagi menangani masalah kesihatan akibat penyakit tidak berjangkit.
Polisi bantuan yang mensasarkan golongan B40 dalam mendapatkan saringan kesihatan dan bantuan perubatan melalui inisiatif Peka B40 dan Mysalam juga merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan dalam menangani hal ini.
Fokus diberikan dari segi sebaran pendidikan kesihatan serta membuka jalan bagi golongan B40 ini mendapatkan saringan kesihatan dan rawatan sebaiknya di fasiliti kesihatan kerajaan.
Ini kerana kebanyakkannya terikat dengan situasi sosio-ekonomi dan tahap pendidikan umum yang rendah.
Pemerhatian Kesihatan Diri
Saya tidak mahu menulis panjang pun hingga menggali polisi KKM dan usaha pendidikan kesihatan.
Asalnya saya ingin meyuarakan kekecewaan, mengapa kita sanggup buat diri kita berisiko tinggi mendapat komplikasi penyakit kronik yang terbukti menyebabkan morbiditi (kecacatan) dan mortaliti (kematian) yang tinggi.
Secara umumnya punca (boleh-ubah) penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi adalah sama;
- Merokok
- Amalan pemakanan yang tidak sihat seperti – kandungan gula tinggi, tinggi karbohidrat mudah (refined carbohydrate)
- Kurang aktiviti fizikal
Semua ini kemudiannya menyebabkan obesiti dan sindrom metabolik. (WHO NCD factsheet)
Dan secara umumnya punca komplikasi penyakit kronik seperti strok dan serangan jantung adalah akibat kawalan penyakit kronik yang tidak bagus.
Pesakit yang saya terima rujukan untuk rehabilitasi kebanyakkannya sama dengan cerita di atas.
Darah tinggi tak terkawal, merokok, kencing manis tak terkawal.
Akhirnya – hilang keupayaan urus diri, membebankan keluarga dan juga menambah pada beban kesihatan Negara.
Tetapi terlalu kerap sangat saya melihat dan statistiknya jelas masalah ini makin meningkat.
Adakah mungkin komplikasi yang berlaku adalah akibat diri kita sendiri yang tidak menyayangi diri dan tidak ambil tahu tentang kemungkinan menghidapi penyakit dan tidak ambil langkah mengelakkannya dan merawatnya?
Benar, penyakit tersebut adalah disebabkan pelbagai faktor lain juga.
Tetapi jika kita tidak menjaga diri dan terkena kesannya, kemungkinan ia salah kita lah kan? Jika takut dilambung ombak, janganlah berumah di tepi pantai, kan?
Jagalah kesihatan diri

Saya tak pernah lah pula beritahu pesakit-pesakit saya, yang apa yang terjadi ini adalah salah mereka.
Tapi jika ia terjadi akibat tidak menjaga kawalan penyakit kronik, maka harusnya mereka faham sendiri.
Benar, apa yang berlaku itu ketentuan Yang Maha Esa, tetapi Tuhan tidak menyuruh kita bertawakal tanpa berusaha, kan?
Kesimpulannya mudah, ambil tahu akan risiko terkena penyakit kronik seperti diabetes dan kencing manis. Buat saja carian di internet dan anda akan berjumpa dengan artikel-artikel dari kementerian kesihatan sendiri mahupun laman-laman seperti Sihatologi ini.
Ambil langkah yang proaktif dalam mengelakkanya dengan menjaga pemakanan, dapatkan faedah bersenam, mengawal tekanan emosi dan pemeriksaan kesihatan berkala.
Jika anda sudah didapati menghidap penyakit kronik ini, tingkatkan usaha mengamalkan gaya hidup sihat dan ikutilah nasihat pegawai perubatan dengan penggunaan ubat-ubatan jika perlu.
Saya sayangi anda semua. Tapi dah terlambat juga apabila anda dirujuk kepada saya apabila sudah menghidapi serangan jantung dan strok untuk rawatan rehabilitasi.
Benar, apabila menghidapi penyakit tersebut ia bukanlah pengakhiran kerana jika ada potensi, kami di perubatan rehabilitasi akan bantu sebaik mungkin untuk anda berdikari dan kembali dalam masyarakat.
Saya sayangkan anda. Tetapi jika boleh, biarlah kita tidak bertemu. Kerana jika kita bertemu di wad atau klinik, bermakna anda telah jatuh sakit.
Tweet