Apabila kita makan, ia bukan sahaja membuatkan kita berasa kenyang. Kesan makanan kepada kita adalah lebih daripada itu.
“You are what you eat”
Kita sedia maklum jika kita tidak mengamalkan pemakanan yang sihat, kita mungkin meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi serta obesiti.
Tetapi bukan itu sahaja, makanan juga sebenarnya boleh memberikan kesan kepada emosi kita!
Pernah tak anda bayangkan, apa yang anda makan itu sebenarnya boleh menggangu emosi hingga menjadi murung?
Kesan makanan kepada emosi

Kesan makanan kepada emosi bergantung kepada jenis makanan yang kita makan.
Berdasarkan satu kajian ulasan sistematik yang mengambil-kira kriteria kemurungan dan faktor pemakanan mendapati wujudnya potensi kaitan pemakanan dengan kualiti kesihatan mental.
Pemakanan sihat dari sumber makanan yang baik seperti minyak zaitun, ikan, kekacang, tenusu, sayuran dan buah-buahan dilihat mengelakkan risiko kemurungan.
Manakala pemakanan yang berasaskan diet barat seperti air yang tinggi gula, makanan bergoreng, daging yang diproses dan produk seperti roti dan kek dilihat meningkatkan risiko kemurungan.
Satu lagi kajian meta-analisis juga menunjukkan wujudnya kaitan antara jenis pemakanan dan risiko kemurungan.
Kajian tersebut juga menyebut bahawa pemakanan yang tinggi dengan sayuran, buah-buahan, gandum mil penuh, ikan, minyak zaitun, tenusu rendah lemak, anti-oksidan dan makanan daripada sumber haiwan yang rendah mengurangkan risiko kemurungan.
Manakala pemakanan dari sumber daging, daging proses, gandum proses, manisan, tenusu tinggi lemak, mentega, kentang dan kurang pengambilan sayuran dan buah-buahan meningkatkan risiko kemurungan.
Kajian-kajian ini memberikan kita panduan tentang pilihan jenis pemakanan yang boleh kita buat dari hari ke hari.
Pemilihan jenis makanan yang berkualiti sebenarnya bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan badan secara umum tetapi ia juga memberi impak kepada kesihatan mental.
Perbanyakkan makanan berkhasiat
Daripada pengamatan kajian-kajian ini, kita dapat lihat persamaan senarai makanan yang baik untuk mengelakkan kemurungan.

- Buah-buahan dan sayur-sayuran
- Gandum mil penuh
- Ikan yang tinggi omega 3 seperti salmon
- Sumber tenusu seperti susu dan keju
- Minyak sihat seperti minyak zaitun
Elakkan makanan yang beri kesan kemurungan
Kita juga dapat lihat persamaan makanan-makanan yang boleh mingkatkan risiko kemurungan;

- Makanan dan minuman yang tinggi gula
- Makanan segera dan makanan ringan
- Tinggi karbohidrat yang diproses
- Pemakanan bersumberkan haiwan yang tinggi
- Tidak mengambil sayur dan buah mencukupi
Kesimpulan
Dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat, kita seharusnya memandang serius kesan makanan kepada emosi kita.
Ini kerana, jika emosi kita terganggu, ia akan mengganggu keseluruhan kesihatan fizikal kita.
Oleh itu, sentiasa amalkan pemakanan yang sihat dan berkhasiat supaya kita terhindar daripada kemurungan.
Kita juga perlu sentiasa bersenam kerana ia juga dapat memberikan pelbagai kebaikan kepada kita.
Kongsikan artikel ini dengan kawan, keluarga atau pasangan anda yang suka makan makanan segera dan ringan tu ya!