Kisah kesan diabetes kepada kehidupan
Saya mulakan hari saya di klinik hari ini dengan melihat seorang pesakit wanita. Umurnya hampir sama dengan ibu saya. Duduk di sebuah kampung yang boleh dikatakan sedikit ‘dalam’. Line telefon pun tak ada katanya di rumah.
Berjumpa dengan saya setelah diberikan temu janji dari wad orthopaedik selepas menjalani pembedahan di sebelah kaki kanan akibat jangkitan kuman rentetan komplikasi penyakit kencing manis iaitu luka di kaki atau diabetic foot ulcer.
Bermula dengan luka yang kecil sahaja, tetapi tidak baik-baik dan makin teruk akibat penjagaan paras gula dalam darah yang tinggi secara kronik.
Komplikasi ini rentetan daripada rosaknya saraf, salur darah dan mengurangkan keupayaan badan melawan kuman di bahagian-bahagian hujung badan terutamanya tangan dan kaki.
Jangkitan ini makin teruk dan menyebabkan kuman memasuki darah dan menyebabkan jangkitan kuman dalam darah. Maka pembedahan kecemasan perlu dilakukan dengan memotong bahagian kaki di bawah lutut bagi menyelamatkan nyawa.
Kesan diabetes ini bukan kes terpencil
Kisah begini bukan satu, tetapi biasanya akan dirujuk ke saya di unit rehabilitasi secara purata 5-7 kes seminggu. Ini pun saya bekerja di hospital berpakar yang kedua terbesar di negeri.
Kalau hospital di ibu negeri rujukan akibat amputee atau kudung kaki ini sahaja mungkin mencecah 2-3 kes setiap hari.
Setelah menerangkan apa yang perlu dilakukan untuk latihan dan penjagaan kaki bagi meningkatkan peluang pesakit saya ini untuk memakai prosthesis atau kaki palsu.

Kerana buat masa ini dia masih tidak boleh bangun berdiri dan imbang badan dengan satu kaki dan masih tidak mencapai tahap kecergasan yang diperlukan, saya lihat pula buku rekod pemeriksaan pesakit saya ini di klinik kesihatan.
Kalau ikutkan rekod dalam buku hijau kecil itu, mak cik ini telah dapatkan rawatan untuk kencing manis sejak 8 tahun dahulu dan memang sentiasa hadir untuk temu janji.
Apabila ditanya tentang aturan dan pengambilan ubat serta insulin, katanya tidak pernah tinggal. Mak cik ini pun merungut betapa susahnya mahu kawal paras gula. Dia pun buntu katanya.
Buntu mengawal diabetes
Saya pun mengeluh kecil. Memang susah sebenarnya apabila badan sudah terlalu kebal atau resistant dengan insulin hingga diabetes berlarutan begini.
Rekod terakhir mak cik ini juga sudah mencucuk insulin actrapid dan insulatard pada 34 unit dan 38 unit. Sudah tinggi. Memang dilihat bacaan paras gula sejak 8 tahun dahulu semuanya melebihi paras 15mmol/L hinggan hampir 25mmol/L.

Sebab itu tangannya selalu kebas akibat penyakit saraf kencing manis atau diabetic neuropathy dan komplikasi luka di kaki (diabetic foot ulcer) terjadi padanya.
Apa yang mak cik makan?
Saya ambil sedikit latar belakang pemakanan atau diet history;
Di belah pagi mak cik akan makan nasi bungkus atau nasi kerabu, minum nestum 3 in 1. Kadang kala ada ambil sedikit biskut kering.
Tengahari akan makan nasi berlaukkan ayam atau ikan. Lauk sayur-sayuran memang jarang.
Malam akan makan nasi juga tapi akan makan awal sebelum pukul 6 petang.
Snek biasanya akan makan buah tembikai, nestum 3 in 1 dan kuih-muih. Kadang kala minum air kotak teh bunga.
Kawalan gula untuk pesakit diabetes adalah sangat mencabar. Lebih-lebih lagi bagi pesakit yang berlatar-belakang sosio-ekonomi rendah dan B40 atas cabaran lokasi, persekitaran dan pendidikan (1).
Susah juga apabila saya terangkan tentang kekebalan insulin dan bagaimana diabetes berlaku dan kini mak cik ini dalam tahap komplikasi paras gula tidak terkawal.
Elak kesan diabetes: Ubah cara hidup
Pesakit juga tidak faham tentang pentingnya perubahan gaya hidup yang sihat sebagai rawatan utama menjaga paras gula di samping rawatan ubatan dan insulin tambahan. Malah penjagaan pemakanan yang sihat adalah tunggak utama dalam menangani diabetes.
Dalam kepala saya, saya nak suruh mak cik ini intermittent fasting atau puasa sunat, tapi puasa ramadhan pun dia susah nak habiskan.
Tapi disebabkan dia makan kali terakhir adalah pada 6pm, maka saya minta dia teruskan. Sekurang-kurangnya ada tempoh berpuasa untuk badannya meningkatkan sensitiviti insulin. (2)
Punca kesan diabetes: makanan tinggi gula
Saya terangkan semula, apa yang mak cik ini makan adalah makanan yang berasaskan karbohidrat ringkas dan tinggi dengan gula.
Adakah kita akan ramal pesakit yang paras gulanya 15-20mmol/L untuk mengawal gulanya dengan mengamalkan minum 3 in 1 dan air kotak yang kita tahu purata gula dalam minuman tersebut adalah 12-14g/serving bersamaan 4-5 sudu gula. Ini belum lagi mengira kesan GI dan glucose load nya pada insulin.
Tapi saya dalam dilema, mak cik ini duduk di pendalaman dan saya pasti tahap pendapatannya adalah dalam lingkungan B40.
Pertama sekali adalah untuk ambil perhatian mak cik ini, saya katakan syarat utama untuk layak memakai kaki palsu atau prosthesis adalah paras gula yang terkawal.
Ini adalah untuk menarik perhatian dan kepentingan perkara ini. Kemudian saya katakan, kalau ikutkan saya, saya tak izinkan 100% makanan dan minuman berasaskan karbohidrat mudah dan tinggi gula ini.
Tapi masakan saya mahu cadang mak cik ini membeli rolled oats atau snek yang tinggi serat di ibu negeri atau tukar nasi kepada nasi perang atau jenis beras yang rendah GI indeksnya jika beras putih pun baginya mahal dan berjimat untuk belinya?

Elak kesan diabetes dengan pemakanan sihat
Cadangan saya pada mak cik ini. Gunakan kelebihan kita di kampung. Namun begitu, saya tidak mahu terlalu tegas kerana ini kali pertama saya berjumpa dengannya.
Penerangan diberikan supaya dia faham pemakanan dia hari ini tidak membantu mengawal paras gula. Saya cadangkan dia ubah gaya pemakanan sekarang ini menjadi lebih sihat seperti konsep suku suku separuh.
Saya juga cadangkan dia mengambil makanan yang tinggi dengan serat dan murah serta mudah didapati, tetapi sangat susah dimakan dan sering dilupai – sayuran hijau.
Seikat kangkung hanyalah RM1-2, seikat sawi hanyalah RM 1-2. Sayuran lain pun murah semuanya.
Tetapi masyarakat kita hari ini sangat-sangat susah untuk amalkan pengambilan sayuran untuk serat dan nutriennya.
94.9% dewasa rakyat Malaysia tidak mengambil jumlah buah-buahan dan sayur-sayuran yang disyorkan.
NHMS 2019
Dalam usaha mengurangkan makanan yang diproses dan meningkatkan serat dan nutrisi, saya cadangkan mak cik ini naikkan lagi jumlah pengambilan sayurnya.
Saya tulis surat ke klinik kesihatan untuk melihat mak cik ini lebih kerap untuk mengawal gula.
Saya akan rujuk ke pakar pemakanan untuk kaunseling yang lebih teliti. Latihan fisioterapi dan cara kerja saya rujuk ke hospital daerah yang lebih dekat.
Mak cik ini kata, takda orang yang pernah terang panjang lebar pasal makanan padanya, apa yang boleh, apa yang tak boleh. Saya katakan rezeki mak cik ini kerana semasa PKP ini ramai pesakit saya tak boleh datang maka saya ada masa nak terang panjang lebar.
Saya harap mak cik ini tak ‘lari’ dari temu janji saya. Mengharapkan berita baik dalam masa sebulan-dua ni.
Kongsikan
Anda boleh kongsikan artikel ini kepada sahabat atau keluarga anda yang anda rasa perlukan sedikit inspirasi untuk mengubah gaya hidup dan pemakanan supaya menjadi lebih sihat.
Kesan diabetes boleh dielakkan dengan pematuhan kepada rawatan dan penjagaan pemakanan yang berterusan.
Bersama kita elakkan kesan buruk diabetes seperti serangan jantung, strok, penyakit buah pinggan dan banyak lagi.
Rujukan
- Time-restricted feeding and risk of metabolic disease: a review of human and animal studies.Rothschild J, Hoddy KK, Jambazian P, Varady KANutr Rev. 2014 May; 72(5):308-18.
- Lim Ching et al. Tahap Pengetahuan Pemakanan dan Kesedaran Kesihatan di Kalangan Pesakit Diabetes Mellitus di Klinik Kesihatan, Cheras, Kuala Lumpur, Malaysia. Sains Malaysiana 39(3)(2010): 505–511.