fbpx

Bersenam: 10 Sebab Mengapa Ia Baik Untuk Anda

10 kebaikan bersenam ini akan buatkan anda mahu mula bersenam sekarang juga!

In this article:

Bersenam

Bersenam adalah salah satu perkara penting jika kita mahu amalkan gaya hidup sihat. Senaman bermaksud melakukan aktiviti fizikal yang disusun dan dilakukan berulang kali untuk menguatkan kecergasan, otot dan fleksibiliti badan.

Senaman boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Asasnya adalah untuk meningkatkan pergerakan badan, menaikkan kadar nadi dan melibatkan renggangan sendi dalam satu tempoh masa.

Antara contoh senaman adalah renggangan otot, senam aerobik, berjalan, jogging, berbasikal, berenang dan yoga.

Biasanya, apabila ada orang mula bersenam ni dia nak turunkan berat badan. Jika tak, kebanyakan orang tak mula bersenam pun. Ini satu kerugian besar kerana bersenam bukan hanya bantu kuruskan berat badan malah lebih daripada itu.

Saya sendiri suka berjogging dan kadang kala melakukan senaman HIIT di rumah. Saya jogging juga bukan dengan target nak kuruskan badan tetapi kerana ia menyeronokkan dan berikan saya satu kepuasan bila capai target larian.

Sebab itu saya mula berlatih untuk cuba menghabiskan marathon penuh dalam masa terdekat ini. Harapnya berjaya!

Anda pula bagaimana? Kongsikan aktiviti senaman yang anda suka dan perasaan anda bila bersenam di ruang komen ya.

Okey, berikut adalah 10 kebaikan bersenam kepada fizikal dan mental kita.

kebaikan bersenam

1. Mengurangkan dan mengawal berat badan

Hampir 50% orang dewasa rakyat Malaysia adalah obes (NHMS 2019).

Tidak hairanlah ramai yang berusaha mencari jalan untuk menurunkan berat badan.

Kajian menunjukkan aktiviti fizikal dan senaman yang berterusan berupaya membantu mengurangkan dan mengawal berat badan.

Aktiviti fizikal membantu badan untuk mengubah metabolisma badan daripada menggunakan gula sebagai tenaga kepada proses pembakaran lemak atau ketosis.

Proses penghasilan keton atau ketosis ini menggunakan simpanan lemak dalam badan kita. Apabila ia berlaku secara berterusan, ia akan membantu mengurangkan berat badan anda dengan lebih efektif.

Namun, aktiviti fizikal seharusnya dilakukan bersama-sama dengan pelan pemakanan yang sihat dan seimbang agar ia betul-betul efektif.

2. Bersenam buat kita gembira

Apa kaitan senaman dengan kegembiraan? Adakah bersenam membuatkan kita lebih gembira?

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet, para pengkaji mengambil data tentang kesihatan mental dan aktiviti fizikal daripada 1.2 juta orang!

Para pengkaji mendapati peserta yang bersenam hanya menghadapi hari beremosi yang kurang baik selama 35 hari, manakala orang yang tak bersenam adalah 18 hari lebih daripada itu!

Orang yang bersenam juga mempunyai tahap kegembiraan yang sama dengan peserta yang tidak bersenam tetapi mempunyai situasi kewangan yang lebih stabil.

Ini bermakna anda tak perlu banyak duit untuk gembira, bersenam pun boleh bagi kesan yang sama!

Tetapi bersenam juga perlu ada hadnya, kerana terlebih latihan juga boleh mengakibatkan mental yang tertekan. Lakukannya dengan sederhana dan dengarlah rentak badan anda.

3. Bersenam mengurangkan risiko penyakit kencing manis

Hampir 3.9 juta dewasa rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas menghidapi penyakit kencing manis (NHMS 2019).

Kencing manis boleh berlaku disebabkan perlbagai faktor termasuklah kekebalan badan kepada insulin.

Kajian menunjukkan dengan mengamalkan aktiviti fizikal dan bersenam, ia membantu meningkatkan sensitiviti badan pada hormon insulin.

Keadaan ini membantu mengurangkan risiko kekebalan badan kita kepada insulin seterusnya mengelakkan penyakit kencing manis.

Adalah penting untuk kita berusaha mengelakkan penyakit kencing manis ini kerana ia berupaya membuka pintu-pintu kepada banyak lagi penyakit lain.

4. Jantung yang sihat dengan bersenam

Aktiviti senaman yang berterusan adalah baik untuk kesihatan jantung dengan mengurangkan tekanan darah dan mengawal paras kolesterol.

Perkara ini penting kerana serangan jantung adalah pembunuh nombor 1 di Malaysia.

Statistik menunjukkan 25% rakyat malaysia tidak aktif, 95% tidak mengambil sayur dan buah yang mencukupi dan 21.3% adalah perokok semasa.

Semua amalan tidak sihat ini meningkatkan risiko serangan jantung.

Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita mula berubah dan hidup dengan lebih sihat bagi mengelakkan pembunuh nombor 1 ini termasuklah dengan mula bersenam.

5. Bersenam menguatkan otot dan tulang

Otot akan menjadi lebih kuat (dan besar) jika ia dilatih berulang-ulang kali.

Teori untuk membina otot adalah dengan menyebabkan kecederaan halus (mikro) kepada otot dengan mengangkat beban berat atau senaman rintangan (resistance).

Ini adalah sebab mengapa kita rasa sakit badan selepas bersukan.

Badan akan membaiki otot tadi dan ia akan dibaiki menjadi lebih kuat (dan besar).

Tak semua orang perlukan otot sampai jadi sasa dan sador. Tetapi otot yang kuat menjamin fleksibiliti badan yang bagus dan membantu hidupan harian kita menjadi lebih aktif.

Kajian juga menunjukkan senaman yang menguatkan otot membantu menguatkan tulang dan mengelakkan risiko kejatuhan dan kecederaan terutamanya apabila kita menjadi semakin berumur.

Oleh itu, bersenamlah dari usia muda untuk jadikan ia satu amalan. Diri kita 20-30 tahun akan datang pasti akan berterima-kasih.

kebaikan bersenam

6. Bersenam adalah baik untuk otak

Otak kita adalah organ yang sangat penting. Maka, semua langkah untuk menjaganya sebaik mungkin perlu kita lakukan bermula hari ini.

Bersenam menunjukkan banyak kebaikan kepada kesihatan otak. Ia meningkatkan peredaran darah dan membawa bekalan oksigen ke otak.

Ia juga mengurangkan keradangan dan merangsang hormon untuk pertumbuhan sel otak.

Kajian menunjukka bersenam mampu meningkatkan daya pemikiran terutamanya apabila kita meningkat tua dan paling penting ia membantu mengurangkan risiko penyakit nyanyuk atau Alzheimer.

7. Tidur lebih baik

Tidur yang mencukupi dan berkualiti merupakan salah satu faktor yang diutamakan untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Ramai antara kita tidak sedar sebenarnya yang tidur kita adalah tidak berkualiti atas pelbagai faktor seperti tekanan dan amalan yang tidak sihat.

Bersenam bukan sahaja mengurangkan tekanan, malah kajian menunjukkan ia membantu kita dalam mendapatkan kualiti tidur yang lebih baik.

Dengan bersenam juga, ia mengurangkan keletihan dan perasaan mengantuk di siang hari. Perkara ini saya tahu ramai yang hadapi, kan?

Jadi apa kata anda cuba mula bersenam hari ini dan lihat sendiri perubahannya.

8. Mengurangkan kesakitan kronik

Apabila umur mencecah 30 tahun ke atas, ramai juga sebenarnya mula menghidapi kesakitan kronik seperti sakit tulang belakang atau otot-otot.

Keadaan begini mungkin berlaku atas pelbagai faktor termasuklah otot dan tulang yang tidak kuat, obesiti, penyakit kronik dan pemakanan yang tidak sihat.

Bersenam dengan berterusan membantu mengurangkan risiko-risiko tersebut.

Selain itu, bersenam juga membantu dalam mengurangkan kesakitan kronik ini terutamanya bagi sakit belakang kronik dan fibromyalgia.

Pengurangan kesakitan kronik melalui senaman ini diharapkan membantu mengurangkan tekanan emosi dan sosial serta mengurangkan kebergantungan kepada ubat tahan sakit.

Mulakan dengan senaman renggangan, belajar lakukan yoga melalui kelas atau secara atas talian dan bina sedikit demi sedikit kecergasan dan ketahanan badan.

kebaikan bersenam

9. Jadikan kita lebih bertenaga

Apabila bersenam secara berterusan, kesannya kepada kesihatan umum adalah sangat positif.

Daripada mengurangkan berat badan, mengurangkan tekanan emosi dan kesakitan serta mengelakkan penyakit kronik.

Semua ini menyumbang kepada diri kita yang lebih bertenaga.

Kajian juga telah menunjukkan kaitan ini di mana sekumpulan subjek kajian yang sering berasa penat dan mengamalkan hidup yang tidak aktif menunjukkan perubahan apabila mula bersenam.

Ingat, bersenam bukan memenatkan, tapi ia akan bagi kita lebih tenaga!

10. Lebih ‘bertenaga’ di bilik tidur

Bersenam bukan sahaja jadikan kita bertenaga di siang hari, malah ia juga menunjukkan kebaikan dari fungsi seksual.

Senaman berterusan yang menjamin jantung yang sihat, peredaran darah yang baik, emosi yang baik serta tidak asyik berasa penat pastinya menyumbang kepada kecergasan anda di bilik tidur.

Kajian juga menunjukkan kaitan antara aktiviti fizikal dan fungsi seksual yang lebih baik.

Aktiviti ringkas seperti berjalan secara kerap juga dilihat membantu lelaki yang mengalami masalah mati pucuk.

Oleh itu, tiada lagi alasan untuk anda tidak bersenam kan?

Kesimpulan

Apa lagi alasan kita untuk tidak bersenam kan?

Dari menjadikan kita nampak lebih kacak dan cantik, mengelakkan penyakit dan meningkatkan tenaga. Semua ini menjamin kehidupan yang lebih baik.

Mulakan apa saja aktiviti senaman yang anda suka. Mula sedikit demi sedikit agar ia tidak menjadi sesuatu yang hanya hangat-hangat tahi ayam.

Dalam apa jua usaha, istiqamah dan aktiviti berterusan adalah kunci utama kejayaan.

Jom kita bersenam!

Kongsikan

Tekan butang share di bawah dan kongsikan 10 kebaikan bersenam ini kepada kawan, keluarga dan pasangan anda. Sama-sama kita usahakan hidup yang lebih sihat.

Lepas kongsi artikel ini, mereka pasti akan ajak anda bersenam.

Share this with your friends & family!

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Dr Kushairi Zuradi

Dr Kushairi Zuradi

Dr. Kushairi is a medical doctor working in Rehabilitation Medicine which deals with a wide range of diseases including post stroke and amputees. He started Sihatologi.com with the aim to educate as much people to live healthier, happier, better lives and prevent chronic diseases. He was once an obese guy but managed to control it. Loves his coffee black, no sugar and aim to run his first full marathon when the events start rolling again.

Contact Me
Select your currency
USD United States (US) dollar

TERUS KE INBOX ANDA!

Panduan pemakanan, kesihatan dan tawaran diskaun hebat.