fbpx

Strok – Punca, Tanda Dan Cara Mengelakkannya

Strok merupakan antara penyebab utama kematian dan kecacatan di seluruh dunia. Ia juga merupakan antara 5 penyebab utama kematian di Malaysia. Menakutkan?

In this article:

Maksud strok

Strok bermaksud apabila berlakunya  beberapa tanda atau simptom seperti:

  1. Hilang upaya untuk bergerak separuh badan.
  2. Tidak boleh bercakap atau menjadi pelat.
  3. Gangguan kepada tahap kesedaran atau fungsi kognitif.

-selama lebih daripada 24 jam disebabkan masalah salur darah di otak.

Jika simptom atau tanda tersebut beransur pulih dalam masa singkat ia dikategorikan sebagai strok sementara (Transient Ischemic Attack).

Strok sementara ini menjadikan risiko untuk mendapat serangan ulangan adalah tinggi.

Tanda-tanda strok

Untuk memudahkan kefahaman bagaimana untuk mengesannya, anda boleh ingat singkatan mnemonik ini; FAST.

  1. Face: Muka menjadi senget
  2. Arm: Sebelah tangan menjadi lemah
  3. Speech: Susah bercakap
  4. Time: Segera telefon kecemasan
tanda tanda strok
Tanda-tanda strok

Ini kerana semakin cepat rawatan, semakin bagus prognosis.

Tetapi apabila strok sudah terjadi, prognosis atau tahap pemulihan bergantung kepada faktor-faktor seperti kawasan otak yang terkesan dan keterukan gejala yang dihadapi.

Ini bermaksud, jika ia telah berlaku, besar kemungkinan kita akan hidup dalam kecacatan yang kekal dan perlu belajar berdikari dengan kecacatan tersebut.

Langkah terbaik yang perlu kita ambil sebenarnya adalah untuk mengelakkan diri kita daripada menghidapinya.

Tetapi bagaimana?

Pertama, kita kena faham apa faktor yang menyebabkan penyakit ini.

Punca-punca strok

Faktor yang menyebabkan penyakit ini terbahagi kepada dua iaitu faktor boleh ubah dan yang tak boleh ubah.

Faktor tak boleh diubah ini adalah:

  1. Jantina – lelaki lebih berisiko untuk mendapat strok
  2. Umur – Umur lebih 55 tahun meningkatkan risiko untuk mendapat strok, dan meningkat dua kali ganda setiap dekad selepas 55 tahun
  3. Sejarah strok dalam keluarga

Faktor-faktor di atas adalah perkara yang tak boleh nak dielakkan. Tapi bagaimana dengan faktor yang boleh kita ubah?

Antara risiko boleh ubah untuk strok adalah:

Darah tinggi

14.1% rakyat Malaysia tidak tahu mereka menghidapi penyakit darah tinggi. (NHMS 2019)

Menjaga tekanan darah dengan target optimum sistolik 120mmHg dan diastolik 70mmHg adalah antara faktor paling penting dalam mengelakkan strok jenis pendarahan atau salur darah yang tersumbat.

Pengurangan sebanyak 10-12mmHg sistolik dan 5-6mmHg diastolik berupaya mengurangkan risiko sebanyak 38%.

Maka langkah drastik seperti ubah suai cara hidup untuk lebih aktif dan mengikuti pelan pemakanan yang sihat berupaya mengawal tekanan darah dan secara langsung mengurangkan risiko strok.

Kencing Manis

Pesakit kencing manis mempunyai risiko dua kali ganda untuk mendapat strok.

Data juga menunjukkan kawalan paras gula yang terkawal juga tidak dapat mengurangkan risiko ini.

Oleh itu adalah sangat penting untuk kita mengelakkan diri kita daripada mempunyai masalah ketidak-seimbangan paras gula disebabkan rintangan hormon insulin dengan menjaga pemakanan dan meningkatkan aktiviti fizikal.

Amalkan gaya pemakanan sihat yang rendah karbohidrat mudah seperti nasi putih, roti putih dan sebolehnya elakkan minuman dalam kotak, botol atau tin kerana semuanya tinggi kandungan gula.

Lemak tidak baik (LDL)

Pengurangan tahap kolesterol juga menunjukkan pengurangan risiko strok terutamanya kolesterol jenis LDL (low density lipoprotein).

Gaya pemakanan yang berasaskan makanan bergoreng dan dari sumber haiwan menunjukkan peningkatan LDL ini dan secara tidak langsung meningkatkan risiko penyakit ini.

Gantikan gaya pemakanan bergoreng ini dengan gaya pemakanan Mediterranean yang berasaskan minyak zaitun dan kekacang yang menunjukkan kesan positif kepada kolesterol jenis HDL (high density lipoprotein) yang memberi kesan postif dalam mengurangkan risiko penyakit ini.

Bagaimana nak mengelakkan strok?

Langkah-langkah proaktif perlu diambil dengan mengubah cara dan gaya hidup menjadi lebih sihat.

Ubah gaya pemakanan

Gaya pemakanan rakyat Malaysia banyak tertumpu kepada makanan yang tinggi dengan gula dan karbohidrat halus (refined carbohydrate). Keadaan ini menyumbang kepada penyakit kencing manis dan akhirnya strok.

Dalam statistik NHMS 2019 juga menunjukkan hampir 95% rakyat Malaysia tidak makan buah-buahan dan sayur-sayuran secukupnya.

Kajian menunjukkan pengambilan sayur dan buah yang secukupnya mampu mengurangkan risiko penyakit kronik.

Oleh itu, mengamalkan amalan pemakanan yang sihat dengan mengurangkan kadar gula, mengambil sayur dan buah yang mencukupi, mengurangkan makanan yang diproses dan karbohidrat halus berupaya mengurangkan risiko strok.

Tingkatkan aktiviti fizikal

Terdapat banyak kebaikan kepada kesihatan kita apabila kita sentiasa bersenam.

Antaranya adalah mengelakkan dan mengawal penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi yang menjadi risiko utama penyakit strok.

Bersenam juga mengurangkan tekanan emosi dan menjadikan kita lebih bertenaga supaya kita dapat menjalani kehidupan dengan amalan-amalan yang lebih sihat.

Secara tidak langsung, amalan gaya hidup sihat secara kolektif ini mampu membantu kita mengelakkan penyakit strok.

Berhenti merokok

Jika anda merokok, maka berhentilah.

Jika suami anda merokok, maka minta lah dia berhenti kerana anda masih terdedah kepada second hand smoke.

Merokok mempercepatkan pembentukan darah beku dan pembentukan plaque dalam salur darah.

Apabila ini berlaku, risiko untuk salur darah tersumbat atau pecah meningkat.

Buat saringan kesihatan

Sentiasa berjumpa dengan Doktor di Klinik Kesihatan Kerajaan atau Klinik Swasta untuk periksa tekanan darah, paras gula dan paras kolesterol.

Dapatkan nasihat perubatan berdasarkan tahap kesihatan anda.

Jika perlu, doktor akan menasihatkan untuk memulakan bantuan ubat-ubatan untuk mengawal risiko-risiko ini.

Makan ubat apabila dinasihatkan dan buat temu-janji pemeriksaan kesihatan dengan berkala.

Kesimpulan

Strok adalah penyakit yang boleh mencacatkan dan membawa kematian.

Penting untuk kita ketahui punca-punca penyakit strok kemudian mengambil langkah-langkah untuk mengelakkannya.

Rujukan

CPG management of ischemic stroke 2nd edition 2012

Physical Medicine and Rehabilitation Board Review 2nd edition

Share this with your friends & family!

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Dr Kushairi Zuradi

Dr Kushairi Zuradi

Dr. Kushairi is a medical doctor working in Rehabilitation Medicine which deals with a wide range of diseases including post stroke and amputees. He started Sihatologi.com with the aim to educate as much people to live healthier, happier, better lives and prevent chronic diseases. He was once an obese guy but managed to control it. Loves his coffee black, no sugar and aim to run his first full marathon when the events start rolling again.

Contact Me
Select your currency
MYR Malaysian ringgit

Discover more from Sihatologi

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading

Download Your

Free Healthy Recipe Cookbook

In PDF format. Bring anywhere you go. Includes many tasty healthy recipes, step by step guide, nutritional info, meal plan and shopping list. Download Now!

TERUS KE INBOX ANDA!

Panduan pemakanan, kesihatan dan tawaran diskaun hebat.